Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 50 tan peluru, kelongsong ditemui dalam serbuan di sebuah kilang e-waste

Kelongsong dan peluru yang ditemui untuk diproses menjadi tembaga dalam satu operasi di sebuah kilang pelupusan barang buangan haram di Telok Panglima Garang.- FOTO: NSTP

KUALA LANGAT: Sebuah kilang di Teluk Panglima Garang di sini, yang memproses sisa elektronik atau e-waste dikesan menyimpan 50 tan guni mengandungi peluru dan kelongsong yang ingin dileburkan secara tidak sah.

Penemuan mengejutkan itu hasil serbuan melalui Ops Hazard yang dijalankan sepasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dengan dibantu Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) bermula jam 9 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, dalam serbuan itu, selain barangan e-waste, pihaknya menemui 50 kilogram (kg) guni mengandungi anak peluru, kelongsong peluru dan peluru hidup yang cuba dilupuskan di dalam kilang itu yang dipercayai bukan dari negara ini.

Pihaknya kini menyiasat peluru itu berasal dari negara mana, selain mengenal pasti sumbernya.

“Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, didapati peluru serta kelongsong akan diproses dengan kaedah dibakar sebelum diasingkan menjadi jongkong timah serta tembaga.

“Siasatan juga mendapati premis ini dipercayai beroperasi tanpa lesen,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Mohamad Suzrin berkata, difahamkan kira-kira 70 hingga 80 pekerja diperiksa untuk siasatan sama ada mereka mempunyai dokumen atau sebaliknya, selain pelbagai rampasan termasuk mesin memproses.

“Ini adalah keperluan dalam usaha membasmi e-waste haram daripada merosakkan alam sekitar negara.

“Modus operandi mereka adalah memproses sisa e-waste secara haram yang membabitkan proses peleraian dan pengasingan bahan berbahaya dengan logam berharga tanpa lesen yang sah, sisa itu diimport dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata, operasi hari ini membabitkan 47 premis di seluruh negara dengan kekuatan 765 pegawai dan anggota, selain 51 kakitangan JAS.

“Kes disiasat mengikut Undang-undang Kecil (UKK) 3 dan UKK 38, Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007 serta kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 55(b) Akta Imigresen, Seksyen 18, 19, 25, 34a, dan 34b Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Bahan Berbahaya JAS, Azlan Ahmad berkata, pihaknya mendapati kilang terbabit tidak mempunyai lesen melerai dan melebur.

“Kita kesan ada aktiviti meleburkan peluru selain premis membuat pembakaran terbuka serta kemungkinan pelepasan gas berbahaya.
“Peluru disenaraikan dalam senarai bahan letupan dan ini pertama kali dikesan. Kita memandang serius perkara ini,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati kilang terbabit turut menempatkan penempatan bagi kediaman pekerja disyaki warga asing yang menggunakan kontena.

Beberapa dapur tempat peleburan juga dikesan selepas menemui beberapa jongkong timah.
Selain itu, pelbagai timbunan bertan guni berisi pelbagai sisa e-waste, juga dipercayai dalam tindakan untuk dilerai oleh pekerja asing itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini