Tumpuan :
Nasional

50 mangsa banjir diselamatkan selepas lebih 10 jam kelaparan, kesejukan

Seramai 50 mangsa banjir yang kesejukan dan kelaparan berlindung di Klinik Kesihatan Meranti, Pasir Mas sebelum diselamatkan jam 12.30 tengah malam tadi oleh NGO Persatuan Kepolisan Komuniti Negeri Kelantan dan Info Semasa Kubang Kerian. FOTO NSTP

KOTA BHARU: 50 mangsa banjir yang kesejukan dan kelaparan akhirnya diselamatkan sekumpulan sukarelawan selepas terkandas lebih 10 jam di Klinik Kesihatan Meranti, Pasir Mas.

Kesemua mereka dari beberapa kampung sekitar Meranti dibantu sukarelawan dari dua badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Kepolisan Komuniti Negeri Kelantan dan Info Semasa Kubang Kerian jam 12.30 tengah malam tadi.

Menurut wakil NGO, Wan Ahmad Ikhwan Wan Aznan, 30, pada mulanya mereka menerima maklumat agar mengambil seorang wanita warga emas yang mengalami sesak nafas yang berlindung di perkarangan klinik kesihatan itu.

“Dengan menggunakan dua bot, kami bergerak ke lokasi jam 11.30 malam tadi dan memandangkan arus air sangat deras, hanya sebuah bot sahaja ke klinik kesihatan itu manakala sebuah lagi bersedia di pertengahan jalan.

“Sebaik tiba, kami sangat terperanjat kerana mendapati sangat ramai mangsa banjir yang terkandas di perkarangan klinik kesihatan itu sejak jam 2 petang lagi.

“Mereka ditemui dalam keadaan lemah dan mengadu kelaparan kerana langsung tiada makanan yang kelihatan sebaliknya hanya air mineral sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Wan Ahmad Ikhwan berkata, pihaknya difahamkan kesemua mangsa banjir itu diselamatkan pihak berkuasa dari kediaman masing-masing sebelum diletakkan di klinik kesihatan terbabit namun tidak dapat dipastikan tindakan seterusnya.

Katanya lagi, ada juga mangsa yang cuba menghubungi saudara mara meminta bantuan namun gagal mencapai akses talian kerana pencawang telekomunikasi mengalami masalah.

“Arus yang deras dan paras air sehingga 1.5 meter (m) juga dirasakan tiada yang berani datang membantu malah ketika kami tiba, sekitar 50 m sahaja lagi air akan mencecah lantai klinik tempat mangsa berlindung,” katanya.

Wan Ahmad Ikhwan berkata, pihaknya tidak menyediakan makanan kerana tujuan asalnya hanya ingin mengambil wanita warga emas itu sahaja namun tanpa membuang masa menyegerakan operasi pemindahan.

Memandangkan hanya sebuah bot yang dibawa, mereka berulang-alik selama enam kali memunggah kesemua mangsa banjir terbabit sebelum menaiki sebuah bot lagi yang menunggu di pertengahan jalan dan dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan trak bomba.

“Operasi pemindahan berjalan hampir empat jam dan kesemua mangsa itu mengucapkan terima kasih kerana menyelamatkan mereka,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini