Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: 50 lokasi di seluruh negara termasuk Kebun Komuniti Taman Batu Caves terpilih bagi Projek Intervensi Peningkatan Penerimagunaan Agroteknologi MARDI sebagai usaha memperkukuh keterjaminan makanan.
Projek itu juga merupakan sebahagian daripada Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan bertujuan memperkenalkan teknologi pertanian inovatif dalam meningkatkan pengeluaran makanan secara tempatan.
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerusi satu kenyataan memaklumkan, antara teknologi yang diperkenalkan adalah ‘Microfarm’ dan teknologi ‘Greenkit’ yang menggunakan konsep ‘self-watering’ dan direka untuk meningkatkan produktiviti tanaman dalam ruang terhad.
“Sistem ini tidak memerlukan tenaga elektrik dan hanya bergantung pada tekanan graviti untuk pengairan.
“Ia juga dilengkapi dengan struktur pelindung hujan dan jaring kalis serangga untuk melindungi tanaman daripada cuaca ekstrem dan serangan perosak,” menurut MARDI.
Melalui projek itu juga, semua ahli kebun komuniti turut menerima input pertanian seperti benih, baja organik serta alatan perkebunan yang diperlukan, selain diberikan taklimat dan kursus ‘hands-on’ oleh pegawai dari MARDI bagi memastikan penggunaan teknologi yang berkesan.
Projek itu tidak hanya membantu meningkatkan keterjaminan makanan setempat tetapi juga mengeratkan silaturrahim antara komuniti.
Melalui teknologi itu, penduduk dapat menghasilkan sayur-sayuran segar dengan kualiti yang lebih baik, seterusnya mengurangkan kos sara hidup dan kebergantungan kepada sumber makanan yang lebih selamat dan berkualiti.
Terdahulu, majlis perasmian Green House Projek Inisiatif Keterjaminan Makanan 2025 di Kebun Komuniti Kampung Baru Batu Caves dan Taman Batu Caves telah disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sempena lawatan beliau ke Kebun Komuniti Kampung Baru Batu Caves (KBBC) dan Taman Batu Caves (TBC).
Majlis turut di hadiri oleh Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Haji Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Pengerusi Persatuan Penduduk, Ismail Abd Hashim.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.