![](https://media.buletintv3.my/2023/10/rp9ydHE8-BULETIN-TV3-10.jpg)
Oleh : Zahir Senapiah
KOTA TINGGI: Jabatan bomba dan penyelamat Johor telah berjaya memadam kira-kira 50 peratus daripada 8 hektar belukar yang terbakar sejak dua hari lalu, di jalan Sebana cove menuju ke Punggai, di Pengerang.
Tiga jentera bomba bersama 15 anggota dari balai bomba Sebana cove, Punggai dan Kota Tinggi sedang bertungkus Lumus mengawal dan memadam 50 peratus lagi kebakaran di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, kebakaran belukar itu dikesan kira-kira jam 2.57 petang pada 15 Oktober lalu.
Peringkat awal kerja pemadaman menggunakan 2 aliran paip sepanjang 100 meter dan 4 pancutan menggunakan sumber air tangki.
Pada hari semalam, anggota bomba melakukan kerja kawalan kebakaran yang dibahagikan kepada 2 sektor iaitu sektor A dan B membabitkan bahu jalan dari sebana Cove menuju ke Punggai menggunakan dua aliran sepanjang 100 meter menggunakan air tangki.
Manakala pada sebelah malam, menggunakan teknik total flooding yang menggunakan fix monitor dan kerja pemadaman di bahu jalan diteruskan menggunakan sumber air terbuka.
![](https://media.buletintv3.my/2023/10/ZkM07NfT-BULETIN-TV3-12.jpg)
Usaha memadam 50 peratus lagi belukar yang terbakar kini sedang giat dijalankan.
Cuaca panas dengan suhu melebihi 36 darjah celcius menyukarkan operasi mengawal dan memadam kebakaran berkenaan.
Akibat kebakaran berkenaan kawasan sekitarnya turut diselubungi asap hingga menghadkan penglihatan kepada hanya 2 kilometer.