Tumpuan :
Nasional

5 warga Bangladesh direman, disyaki terbabit kes tetak lelaki

Foto: PDRM

SHAH ALAM: Lima warga Bangladesh termasuk dua wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki yang ditemui meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai runcit di Seksyen 7, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, semua suspek berusia antara 33 hingga 53 tahun itu ditahan di hadapan kedai runcit berkenaan kira-kira jam 1.45 tengah hari, semalam.

Terdahulu polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mengenai kejadian tetak di hadapan kedai runcit berkenaan.

“Pemeriksaan dilakukan Pegawai Perubatan dari Hospital Shah Alam mendapati mangsa, 45, yang bekerja sebagai penyelia kedai runcit itu telah meninggal dunia.

“Terdapat beberapa kesan kecederaan pada kepala, badan dan tangan akibat diserang menggunakan objek tajam,” katanya melalui kenyataan.

Beliau berkata, beberapa saksi awam memaklumkan mendengar pertengkaran mulut antara mangsa dan seorang pekerja berhubung isu kelewatan bayaran gaji.

Keadaan semakin tidak terkawal sehingga berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek.

“Mangsa diserang menggunakan sebilah pisau pemotong daging dan ditetak berulang kali oleh pekerja tersebut sehingga jatuh terbaring di tempat kejadian,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, semua suspek direman tujuh hari sehingga 21 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini