SEMPORNA: Lima individu termasuk dua pelancong China cedera apabila van persiaran yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 38 Jalan Semporna-Tawau di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu masing-masing sebuah van persiaran, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan Perodua Bezza.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Sobri Zainol berkata, nahas terbabit bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa dengan semua pemandu terbabit hanya mengalami cedera ringan.
Menurutnya, kemalangan berlaku apabila pemandu Perodua Bezza berumur 26 tahun dan pemandu Pikap berumur 25 tahun dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna, manakala van persiaran dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu Perodua Bezza telah masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan van persiaran membawa dua pelancong terbabit sebelum dilanggar pula oleh trak pikap Toyota Hilux.
“Akibat nahas itu, kesemua kenderaan terbabit mengalami kerosakan dan remuk teruk namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Sobri menasihatkan orang ramai supaya memandu dengan lebih cermat dan berhati-hati selain mengamalkan sikap bertimbang rasa semasa berada di jalan raya.
Kes disiasat mengikut kaedah Rule 10, 166/59.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.