KUALA TERENGGANU: Paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu mencatat peningkatan susulan hujan berterusan di negeri itu dengan lima sungai merekodkan bacaan melepasi paras waspada, setakat jam 8 pagi ini.
Ia membabitkan dua sungai di Setiu dan masing-masing satu di Kuala Nerus, Marang serta Kemaman.
Di Setiu, Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok masing-masing merekodkan bacaan 8.06 meter (m) dan 7.28m, melepasi paras normal 5.5m dan lima meter.
Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus turut melepasi paras waspada dengan bacaan 2.13m.
Di Marang, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan mencatatkan bacaan 2.3m, melepasi paras normal satu meter.
Turut mencatat bacaan melepasi paras waspada adalah Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik di Kemaman dengan bacaan 1.8m berbanding paras normal satu meter.