![](https://media.buletintv3.my/2024/07/BULETIN-TV3-M-2024-07-13T122338.698.jpg)
JERTIH: Sekolah yang terletak berhampiran kawasan kebakaran di daerah Besut boleh memohon cuti peristiwa jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dicatatkan melebihi 200.
Pengarah Jabatan Pendidikan negeri (JPNT), Jelani Sulong berkata, pengurusan sekolah diminta menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah membabitkan murid jika bacaan IPU melebihi 100.
![](https://media.buletintv3.my/2024/07/BULETIN-TV3-M-2024-07-13T122553.460.jpg)
Bagaimanapun, katanya, kebakaran membabitkan dua kawasan masing-masing di Tapak Pelupusan Sampah (TPS) di Kampung Paya Rawa dan hutan tanah gambut di Kampung Raja itu, masih terkawal.
“Kita dapati sebanyak lima sekolah dan sebuah Kolej Vokasional serta Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di daerah Besut berada dalam jarak antara 0.4 kilometer (KM) dan 4.25 km daripada kawasan kebakaran.
“Kita dapati bacaan IPU di daerah Besut dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih berada pada tahap antara 54 dan 55,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, dilaporkan berkata, pelepasan asap disebabkan dua kejadian kebakaran dikesan menjadi punca kemerosotan kualiti udara di daerah Besut.
Katanya, siasatan JAS mendapati cuaca berjerebu di Besut disebabkan kebakaran hutan dan tanah gambut yang berlaku sejak awal bulan ini manakala kebakaran di TPS dikesan sejak Jun lalu.
Berdasarkan rekod, sekolah yang berhampiran dengan kawasan kebakaran adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmud, yang terletak pada jarak 2.37 kilometer (KM), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud Dua (2.4 KM), SK Pendidikan Khas Besut (4.25 KM), SMK Tengku Mahmud (4 KM), Kolej Vokasional Besut (1.82 KM), Maktab Rendah Sains Mara (0.4 KM) dan SMA Maarif (2.5 KM).
Mengulas lanjut, Jelani berkata, walaupun keadaan masih terkawal dan tidak memerlukan penutupan sekolah, tetapi JPNT akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan murid guru dan sekolah.
“Kita akan sentiasa meminta nasihat dan pandangan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM negeri, Jabatan Kesihatan dan JAS.
“Aspek keselamatan murid, guru dan sekolah adalah keutamaan JPNT,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa