comscore
Tumpuan :
Nasional

5 sekawan termasuk wanita ditangkap, RM75,000 nilai dadah dirampas

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh menunjukkan gambar lima sekawan berusia 18 sehingga 45 tahun termasuk seorang wanita ditangkap polis manakala sejumlah dadah bernilai kira-kira RM75,000 dirampas dalam serbuan ke sebuah rumah sewa di Kampung Chokro di Simpang Renggam, Kluang Johor. FOTO: NSTP

KLUANG: Lima sekawan berusia 18 sehingga 45 tahun termasuk seorang wanita ditahan polis bersama sejumlah dadah bernilai kira-kira RM75,000 dalam serbuan ke sebuah rumah sewa di Kampung Chokro di Simpang Renggam, 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan morphine hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan.

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis depan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

FOTO: NSTP

“Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang telah menjalankan serbuan di salah sebuah rumah disewa oleh salah seorang suspek.

“Hasil pemeriksaan itu polis menemui sejumlah bahan disyaki dadah syabu iaitu satu paket plastik seberat 5.01 gram, satu bungkusan plastik bertulisan Guanyinwang Chinese Tea seberat 1.05 kilogram dan sembilan paket plastik lutsinar seberat 755.50 gram.

“Polis juga menemui satu paket plastik disyaki berisi dadah jenis heroin seberat 106.50 gram.

“80 foil aluminium warna merah dan perak disyaki berisi pil eramin 5 sebanyak 800 biji seberat 251.50 gram dan bekalan ini boleh digunakan lebih 9,000 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga daripada lima suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta disebat tidak kurang 12 sebatan rotan,” katanya.

Loading...
Terkini