Tumpuan :
Dunia Seni

5 peserta mara ke separuh akhir CSOIAM

Antara peserta CSOIAM yang layak ke minggu ke-7 pada Konsert Calpis Soda One In A Milion minggu keenam di Studio ntv7, Glenmarie. FOTO NSTP

SHAH ALAM: Lima peserta Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) iaitu Jimi, Marygrace, Kai Deva, Mariam dan Zazzleen menempah tiket ke pentas separuh akhir, Ahad ini.

Pada konsert minggu keenam, Eylia Guntabid terpaksa akur apabila perjalanannya terhenti pada saingan di peringkat suku akhir, malam tadi.

Penampilan Eylia yang berduet bersama Khai Bahar ketika menyampaikan lagu Dua Insan Bercinta kurang menambat hati juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan termasuk juri jemputan, Alif Satar.

Barangkali faktor penyingkiran Eylia juga dipengaruhi peratusan undian daripada penonton yang rendah.

Pada konsert CSOIAM suku akhir bertemakan ‘Saling Menyengat, Fizz Sangat’, Jimi berduet bersama Amir Masdi, Marygrace (Aisha Retno), Kai Deva (Haqiem Rusli), Mariam (Marsha Milan) dan Zazzleen (Shiha Zikir).

Bagi konsert separuh akhir bertemakan Melodi Cinta Kita, kemungkinan seorang peserta bakal berdepan penyingkiran sebelum empat finalis berentap pada konsert akhir, pada 9 Februari depan.

Keputusan akhir bagi minggu seterusnya ditentukan berdasarkan 60 peratus markah daripada juri dan baki 40 peratus lagi bergantung kepada undian penonton.

Konsert minggu keenam CSOIAM menampilkan Alif Satar & The Locos sebagai pembuka tirai persembahan dengan menyampaikan lagu hit Anugerah Terindah dan Inikan Cinta.

Sebelum itu, keenam-enam peserta turut menghiburkan penonton pada slot pembukaan dengan menyampaikan lagu Bollywood, Aankhein Khuli dan Koi Mil Gaya.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan daripada Stacy Anam yang mendendangkan lagu Pakai Buang dan Menyala.

Program realiti nyanyian yang mula mencipta fenomena pada 2006 itu kembali disiarkan di TV3 bermula malam ini hingga 9 Februari depan dengan format baharu.

Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy bertindak sebagai pengacara untuk mengemudikan siaran langsung program selama lapan minggu.

Juara CSOIAM bakal menerima hadiah wang tunai RM500,000, sebuah kereta bernilai RM200,000 dan kontrak rakaman eksklusif di bawah Alternate Records & Talents selama dua tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini