KUALA LUMPUR: Lima pegawai dan anggota dari Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Mereka terdiri daripada Asisten Superintendan Mohd Norzahirudin Jufri, Inspektor Muhamad Hanif Abd Halim, Sarjan Osmizan Osman, Koperal Mohd Shariffuddin Sulaiman dan Koperal Wan Mohd Abbasi Wan Abdllah @ Wan Mamat.
Kesemua mereka menerima sijil penghargaan selepas menolak wang sogokan berjumlah RM50,000 daripada seorang ejen sindiket penyeludupan migran semasa menjalankan tugas Op Taring Wawasan Kelantan di Jalan Sri Cemerlang dan Jalan Besar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan pada 9 Disember lalu.
Wang itu dipercayai sebagai imbuhan kepada pihak polis supaya tidak membuat tangkapan terhadap kesemua suspek terbabit.
Dalam operasi yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Briged Tenggara bersama Batalion 9 PGA itu, seramai 16 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar serta tiga tekong berjaya ditahan.
Razarudin semasa majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini, petang tadi merakamkan tahniah kepada semua pegawai dan anggota terbabit kerana sentiasa berpegang teguh dengan prinsip integriti ketika menjalankan tugas menjaga sempadan negara.
“Apa yang dilakukan ini (menolak rasuah) seharusnya menjadi teladan buat rakan-rakan seperjuangan (warga pasukan) yang lain agar tidak mudah terjerumus dengan perbuatan tidak bermaruah yang boleh merosakkan nama baik PDRM seterusnya masa depan kita,” katanya.
Penghargaan itu juga jelas membuktikan bahawa pucuk pimpinan pasukan sentiasa mengambil peduli atas tindakan pegawai dan anggota polis yang berintegriti serta bersemangat waja dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan negara.
Hadir sama dalam majlis tadi ialah Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dan Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.