Tumpuan :
Nasional

5 negeri dikesan rekod NRW tertinggi – SPAN

Charles (paling kiri) menyaksikan Pemeteraian Pelan Tindakan antara SPAN dan Syarikat Air Perlis

Oleh: Syafiqah Damanhuri

CYBERJAYA: Lima negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu direkodkan mengalami kehilangan air tidak berhasil (NRW) tertinggi dalam negara.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago berkata, isu itu merupakan masalah yang besar dihadapi oleh kebanyakan negeri di seluruh Malaysia.

“Itu satu kehilangan besar kepada operator. Sama seperti di Kedah ada masalah yang sama lebih kurang 58% NRW, sama dengan Kelantan dan juga di Terengganu serta Pahang.

“Sekarang Kerajaan Persekutuan khususnya di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) adakan satu pelan yang besar-besaran untuk mengatasi masalah itu.” Katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Pemeteraian Pelan Tindakan Bagi Mentransformasikan Perkhidmatan Bekalan Air di Negeri Perlis di Ibu Pejabat SPAN.

Tambahnya, perkara itu berlaku akibat paip yang diguna pakai sekarang telah usang, serta berusia lebih kurang 60 tahun.

“Oleh kerana itu, terpaksalah macam 60 tahun tekanan air jadi dia pecah. So we have to change all of that. walaupun ada geran daripada pihak kerajaan tetapi tidak cukup.

“Kalau kita nampak hari ini dekat Perlis, NRW itu lebih kurang 62%. Itu terlalu tinggi.

“Ini bermaksud untuk setiap RM100 yang dikeluarkan, kira-kira RM60 itu kita hilang. Kita hilang lebih daripada 50% dari apa yang kita kerja, kita keluarkan.” Jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan penghasilan NRW kebangsaan kepada 28.8% menjelang 2030.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia berdasarkan kepada proses penggantian paip di seluruh negara yang ketika ini dibuat secara berperingkat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini