comscore
Tumpuan :
Nasional

5 mangsa perahu karam mungkin hanyut ke muara Sungai Sarawak

Anggota bomba menjalankan pencarian lima peserta lumba perahu yang hilang selepas perahu mereka karam di Sungai Sarawak.-Foto: NSTP.

KUCHING: Lima mangsa yang hilang dalam tragedi perahu lumba karam di Sungai Sarawak semalam berkemungkinan hanyut dibawa arus hingga ke muara sungai.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, ia berikutan pintu air dalam sistem Skim Pengawalan Sungai Sarawak (SPSS) atau Baraj Sungai Sarawak dibuka malam tadi apabila hujan lebat berlaku sekitar bandar raya ini.

Justeru katanya, pencarian kini diperluaskan membabitkan 12 agensi penyelamat, 127 sumber manusia dan 18 bot serta dron digerakkan bagi mengesan mangsa.

“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa dihanyutkan ke muara sungai kerana pasukan penyelam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak sudah melakukan enam selaman di sekitar lokasi kejadian namun masih gagal mengesan mangsa.

“Usaha akan diteruskan sehingga semua mangsa ditemui dan setakat ini jarak penglihatan dalam sungai yang keruh menyukarkan penyelam melakukan pengesanan,” katanya yang ditemui ketika meninjau operasi dan menyelamat (SAR) di Bintawa, di sini, hari ini.

Mancha berkata, walaupun lima mangsa masih hilang dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang semalam, sesi latihan untuk pasukan lumba perahu yang akan menyertai Regata Sarawak awal bulan depan diteruskan seperti biasa.

“Tetapi bot besar dan bot awam dinasihatkan bergerak perlahan bagi mengurangkan ombak besar yang boleh membahayakan perahu peserta yang sedang menjalani latihan.

“Peserta yang berlatih juga dinasihatkan supayavmenggunakan jaket keselamatan bagi mengurangkan risiko serupa,” katanya.

Menurutnya lagi, bot pengiring juga disediakan oleh penganjur untuk mengambil tindakan segera jika berlaku kemalangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, seramai 16 peserta yang juga kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) sedang menjalani latihan untuk menyertai Festival Regata Sarawak-Kuching Waterfront 2024, pada 1 hingga 3 November depan.

Bagaimanapun, perahu mereka karam selepas dibadai gelombang akibat pergerakan sebuah bot nelayan yang datang dari arah bertentangan.

Sejumlah 11 peserta berjaya menyelamatkan diri, namun lima lagi mangsa serta bot yang karam itu masih belum ditemukan.

Mereka yang hilang ialah Mohamad Ikhmal Sama’ail, Majurie Maharuf, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, Mohamad Khairul Bidin dan Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, berusia lingkungan 22 hingga 35 tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini