PETALING JAYA: Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan kes letupan kecil di hadapan sebuah kedai di Jalan Klang Lama, ibu negara, 2 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata dua daripada suspek berkenaan akan didakwa di mahkamah esok manakala tiga dijadikan saksi pendakwaan.
Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan lima lelaki berusia antara 32 hingga 60 tahun itu ditahan di Sentul pada 5 Mei lalu.
Siasatan mendapati mereka diupah untuk melakukan kerja berkenaan.
Kertas siasatan katanya telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya Kuala Lumpur hari ini dan arahan mendakwa dua suspek dikeluarkan.
Kedua-duanya akan didakwa esok di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian 6 pagi 2 Mei lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun menerima panggilan telefon daripada pengawal keselamatan memaklumkan berlaku letupan kecil di hadapan kedai pengadu.
Hasil siasatan polis telah menemui 3 paip PVC berwarna putih yang telah diubah suai menjadi bahan letupan.
Pemeriksaan pada paip PVC menemui alat ‘Improvised Explosive Device’ (IED) kawalan jauh.