
MELAKA: Pasukan Bomba dan Penyelamat Melaka mengambil masa hampir lima jam bagi membawa keluar dua lelaki yang terperangkap dan rentung dalam kebakaran bilik transformer di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tangga Batu, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu lelaki tempatan berusia 28 tahun dan seorang pekerja warga Bangladesh maut, manakala dua lagi pekerja asing melecur pada tubuh dan kini dirawat di Hospital Melaka.
Komander Operasi, Mohd Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata, usaha mengeluarkan dua mangsa rentung mengambil masa lama disebabkan ruang bilik sempit dan menyukarkan pergerakan anggota serta risiko arus elektrik yang tinggi.
Katanya, tindakan mengeluarkan mangsa hanya dilakukan selepas pihaknya mendapat pengesahan daripada pegawai teknikal kilang bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bekalan elektrik diputuskan sepenuhnya.
“Kedua-dua orang ini terperangkap ketika kejadian dan ditemui meninggal dunia.
“Dari segi cabaran kita adalah membabitkan bilik transformer ini kita kena pastikan bekalan elektrik itu betul-betul diputuskan terlebih dahulu.
“Kita minta daripada pegawai teknikal kilang ini dan TNB untuk membuat pengesahan bahawa tak ada lagi sebarang bekalan elektrik yang akan mengganggu dan merisikokan anggota bertugas, baru kita buat tindakan mengeluarkan dua mangsa ini,” katanya
Beliau berkata kepada media selepas operasi mencari dan menyelamat mangsa kebakaran di kilang peleburan aluminium itu.
Mohd Khairul Nizam berkata, dua yang rentung iaitu warga tempatan R Pavithiran, 30, berasal dari Klang, Selangor dan warga Bangladesh, Abrar Aslam dikeluarkan pada jam 3.55 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Dua mangsa yang melecur yang juga warga Bangladesh dikenali sebagi Monir Mohamad dan Islam Md Din dibawa ke Hospital Melaka.
“Semua mangsa dipercayai pekerja pihak kontraktor pelupusan yang dilantik melakukan kerja pengumpulan sisa kilang yang ditutup sepenuhnya awal bulan ini,” katanya sambil memaklumkan punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.
Terdahulu media melaporkan dua pekerja rentung manakala dua lagi melecur dalam kebakaran yang berlaku di bilik transformer sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tangga Batu, kira-kira jam 10 pagi tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.