KUALA LUMPUR: Keadaan fizikal kuarters yang tidak kondusif, kos penyelenggaraan yang tinggi, lokasi kuarters yang tidak strategik, kos sewa rumah kediaman di sekitar kuarters lebih rendah serta kawasan kuarters yang tidak selamat kerana menjadi sasaran pencuri dan vandalisme dikenal pasti sebagai lima punca kuarters guru tidak berpenghuni.
Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi satu dapatan berdasarkan laporan akhir kajian yang dijalankan perunding hartanah dilantik, merumuskan lima punca berkenaan.
Justeru, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedang meneliti dapatan kajian serta cadangan penyelesaian oleh perunding sebelum mengambil sebarang keputusan untuk mengoptimumkan penggunaan kuarters guru yang kosong.
“Antara pendekatan dan cadangan penyelesaian yang sedang diteliti adalah termasuk pelaksanaan tukar fungsi, mengguna sama kuarters dengan agensi lain dan membuka sewaan kepada pihak luar yang berminat.
“KPM sentiasa komited dalam usaha menyediakan prasarana pendidikan termasuk kuarters guru yang selamat dan kondusif untuk diduduki,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman web Parlimen semalam.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang meminta KPM menyatakan apakah usaha diambil bagi memanfaatkan penggunaan 18,740 kuarters guru tidak berpenghuni di negara ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata kuarters guru adalah aset di bawah kawalan KPM.
Katanya, buat masa ini, kerajaan tidak bercadang untuk menukar status kuarters kepada rumah yang boleh dijual beli kepada kakitangan awam kategori B40.
Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya cadangan penukaran status kuarters ini hendak dilaksanakan, KPM perlu mengemukakan cadangan terbabit kepada agensi pusat untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan.
Untuk rekod, jumlah keseluruhan kuarters guru KPM sebanyak 47,646 unit. Daripada jumlah itu, sebanyak 30,262 unit diduduki dan 17,384 unit tidak diduduki.
KPM sebelum ini melantik perunding hartanah bagi menjalankan kajian mengoptimumkan penggunaan kuarters guru tidak berpenghuni milik KPM di seluruh negara.
Perunding terbabit mengemukakan laporan akhir kajian kepada KPM pada September lalu.