
TUMPAT: Sebanyak 88,000 biji kelapa membabitkan nilai RM2.1 juta yang dipercayai mahu diseludup ke Thailand, dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.
Rampasan berkenaan dilakukan Batalion 7 PGA jam 12.30 tengah hari di sebuah stor Che Soh, Kampung Pulau Ular, di sini.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan dilakukan menerusi Op Taring Wawasan itu selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan di stor berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 88,000 biji kelapa ditemui dalam lori dan kawasan stor terbabit tanpa dokumen dan lesen pembelian kelapa yang sah.
“Bekalan kelapa ini dipercayai ditransit di lokasi berkenaan sebelum diseludup ke Thailand dan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM2.1 juta.
“Kita turut menahan lima individu berusia 26 hingga 43 tahun dipercayai berperanan sebagai penghantar bekalan terbabit ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (FAMA).
Katanya, kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke FAMA untuk tindakan selanjutnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.