
KOTA TINGGI: Lima cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres dan dua buah kereta Mercedes, di Jalan Kota Mersing, berhampiran Felcra Sungai Ara, malam tadi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, pihaknya menerima panggilan jam 10.03 malam.
Susulan itu, lapan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi dikejarkan ke lokasi kejadian diketuai Pegawai Bomba Satu, Mohd Rafi Mohd Nor.
“Setibanya pasukan penyelamat di lokasi, mendapati sebuah bas ekspres jenis Nissan dan dua buah kereta Mercedes terbabit dalam kemalangan.
“Siasatan awal mendapati lima penumpang dalam dua buah kereta Mercedes cedera,” katanya.
Antara yang cedera pemandu salah sebuah Mercedes dikenali sebagai Che Nor Che Noh, 56, dan penumpang hadapan, Jarudah Alias, 50.
Manakala dalam sebuah lagi Mercedes yang cedera adalah Mohd Sofian Zakaria, 36, Mohamad Zaki Zakaria, 36, serta seorang lagi penumpang wanita dikenali sebagai Shamsuzy Mahasan, 38.
Pemandu bas, 47, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Semua mangsa yang cedera dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba.
Polis sedang menyiasat punca sebenar kemalangan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.