SHAH ALAM: Suami isteri dan tiga anak mereka yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemui selamat, malam semalam.
Bapa wanita dilapor hilang, Amir Hamzah Nordin, 65, ketika dihubungi Harian Metro hari ini mengesahkan penemuan anak perempuannya, menantu dan cucunya itu.
“Mereka sudah pulang ke kediaman di Bukit Tinggi, Klang semalam, kira-kira 11 malam dan berada dalam keadaan baik.
“Terima kasih kepada sahabat-sahabat, rakan dan saudara-mara yang membuat solat hajat serta mendoakan keselamatan mereka sekeluarga,” katanya.
Amir Hamzah berkata, dia sendiri sudah ke rumah lima beranak itu untuk melihat keadaan mereka.
Katanya, ‘kehilangan’ lima beranak itu timbul selepas keluarga tidak dimaklumkan mengenai rancangan mereka ke tapak perkhemahan yang tiada liputan telekomunikasi.
“Selalunya mereka maklum tetapi hari itu entah macam mana mereka terlupa nak maklum. Jadi kami susah hati,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Norhizam Bahaman dilaporkan berkata, laporan kehilangan keluarga itu dibuat adik wanita berusia 37 tahun selepas mereka keluar dari rumah pada 11.30 malam, 17 Januari lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.