RINGKASAN BERITA
- Lima anggota keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), selepas siasatan polis mendapati, keluarga itu mempunyai ideologi dan fahaman radikal.
- Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, “Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api pasal di rumah dia kita ada jumpa paip-paip untuk buat pistol angin.”
Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Lima anggota keluarga suspek serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru akan ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, semua individu terbabit ditahan reman mengikut Seksyen 4(5) SOSMA 2012 bermula hari ini bagi tempoh 28 hari sehingga 20 Jun depan.
Ia susulan reman lima sekeluarga itu tamat, hari ini.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api pasal di rumah dia kita ada jumpa paip-paip untuk buat pistol angin,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ, hari ini.
Ujarnya, penahanan semula dibuat berikutan siasatan polis mendapati keluarga itu mempunyai ideologi dan fahaman radikal.
“Kita telah memanggil saksi dan kejiranan di Ulu Tiram di rumah berdekatan, kita dapati bahawa keluarga ini memang isolated (mengasingkan diri), tidak bercampur orang, anak tidak bersekolah.
Suspek yang mati ini bersekolah sehingga darjah empat, abang dia sahaja sampai Tingkatan Lima, kakak dia sampai Darjah Enam.”
Dalam kejadian jam 2.45 pagi Jumaat lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang oleh seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.
Serangan turut menyebabkan Koperal Mohd Hasif Roslan cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul.
Terdahulu, tujuh individu ditahan reman termasuk lima anggota keluarga suspek bagi membantu siasatan dan membebaskan tanpa syarat dua pelajar.
Sehingga kini, polis telah merakam keterangan lebih 47 saksi untuk melengkapkan siasatan kes.
Dalam pada itu, Tan Sri Razarudin mengingatkan semula prosedur operasi standard sedia ada bagi mengelak kejadian sama berulang.
“Bagi balai-balai terpencil, yang bertugas pada satu-satu masa itu dua orang sahaja, kita arahkan balai terpencil ini apabila jam 9 malam, tutup pagar, peronda memang ada di depan, kalau ada orang datang, dia boleh bukakan pagar.
Tambahnya, beliau juga telah bermesyuarat semalam dalam menentukan kesiapsiagaan PDRM anggota dan logistik bagi menambahbaik kawalan di pondok dan balai-balai polis, selain mengarahkan tahap kewaspadaan anggota dipertingkatkan.
“Kita letakkan CCTV ke, lihat balik lampu parameter yang tak terang, bagi balai-balai yang besar dan kecil bila boleh tutup pagarnya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Pengasas bersama JI nafi terbabit serangan Balai Polis Ulu Tiram
- Serangan di Balai Polis Ulu Tiram: 2 pelajar IPT dibebaskan tanpa syarat
- Hanya 7 individu kekal disiasat berhubung insiden serangan balai polis
- Polis siasat ancaman Jemaah Islamiyah dalam negara
- “Bapa mana yang tak sedih apabila anak terkorban dalam keadaan begini….”
- ‘Saya reda dengan ketentuan’ – Bapa Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq
- 15 tahun selepas Noordin Mohd Top disemadikan Jemaah Islamiyah muncul kembali di Ulu Tiram
- ‘Ami, terima kasih jadi anak yang baik’
- Polis tolak anggapan akan berlaku serangan di lokasi lain
- Suspek serang balai polis sudah buat persediaan awal – KPN
- Lelaki bertopeng serang Balai Polis Ulu Tiram