![](https://media.buletintv3.my/2024/12/AMIR-HAMZAH-3.jpg)
LANGKAWI: Penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang layak di seluruh negara meningkat kira-kira tujuh kali ganda kepada 5.4 juta orang menjelang April depan, membabitkan dana RM13 bilion.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah itu mengambil kira 4.7 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang bakal dimasukkan sebagai penerima baharu SARA pada tarikh itu.
“Penerima SARA sedia ada 700,000 orang, mulai April ini kita tambah 4.7 juta lagi dari penerima STR dan jumlah keseluruhan (penerima SARA) akan meningkat kepada 5.4 juta orang di seluruh negara menjelang April ini.
“Ini menjadikan peruntukan STR dan SARA meningkat ke tahap tertinggi dalam sejarah iaitu RM13 bilion tahun ini, berbanding RM10 bilion tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas meninjau agihan dan perbelanjaan 30 penerima SARA di Pasaraya Borong Sakan Langkawi di Kuah di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata, kadar bantuan SARA turut ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun 2025, berbanding RM1,200 tahun lalu.
“Bantuan SARA ditambah baik dengan nilai RM100 sebulan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025, manakala mulai April 2025, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.
“Bantuan itu juga membabitkan penggunaan MyKad dengan baki kredit bulanan boleh dibawa ke hadapan selama setahun untuk membeli barangan keperluan asas terpilih kebersihan diri, ubat-ubatan dan kelengkapan persekolahan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata menjelang tahun ini penerima boleh membuat pembelian membabitkan 1,700 kedai runcit yang berdaftar di seluruh negara, berbanding hanya 700 kedai tahun lalu.
“Sehingga hari ini, sebanyak RM67 juta sudah dibelanjakan oleh penerima SARA di kedai-kedai runcit berdaftar di seluruh negara,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.