comscore
Tumpuan :
Nasional

493 jam tangan tiruan Casio dijual dalam talian dirampas

Oleh: Selwam Arjunan

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas 493 jam tangan tiruan jenama Casio bernilai lebih RM12,000 yang dijual secara dalam talian di sini, pagi tadi.

Pengarah Pejabat KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, seorang pemilik perniagaan dan empat kakitangannya sedang leka menjual produk berkenaan dalam talian semasa serbuan pada jam 11.30 pagi itu.

Katanya, serbuan dilakukan bersama wakil pemilik cap dagangan berdaftar di sebuah gudang yang beroperasi tanpa sebarang papan tanda perniagaan itu disyaki menjual barangan jenis jam tangan berjenama Casio.

Ujarnya, tindakan diambil berdasarkan aduan dan hasil risikan yang telah dijalankan sejak awal November.

“Serbuan melibatkan seramai tujuh anggota Pegawai Penguat Kuasa KPDN Alor Setar bersama dua orang pegawai dan wakil pemilik cap dagangan berdaftar.

“Hasil serbuan mendapati seorang lelaki iaitu pemilik perniagaan dalam lingkungan umur 42 tahun bersama-sama empat orang pekerja bergiat aktif menjual jam tangan tiruan berjenama Casio secara atas talian menggunakan platform Shopee di dalam gudang tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 493 unit jam tangan pelbagai model berjenama Casio, dan 1,800 unit kotak jam tangan berlabel Casio yang telah disahkan tiruan oleh wakil pemilik cap dagangan telah disita bagi siasatan lanjut.

“Nilai rampasan keseluruhan adalah dianggarkan sebanyak RM12,070,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut memberi amaran kepada peniaga agar tidak menjual atau menawarkan apa-apa barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Katanya, tindakan kes diambil mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan, atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan barang-barang yang cadangannya dipakaikan dengan salah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini