Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 49,000 akaun akan menerima manfaat apabila LRA Jenun baru siap – Saifuddin Nasution

 

Oleh: Kumaran Rajamoney

PENDANG: Projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Baru bakal memanfaatkan 49,000 akaun pengguna di dua daerah dan sebahagian kawasan Gurun apabila siap sepenuhnya menjelang April 2024.

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kapasiti pengeluaran air LRA itu akan berganda menjadi 110 juta liter (MLD) sehari, berbanding 55 MLD ketika ini.

“Dengan siapnya loji rawatan air ini nanti maka bekalan air terawat yang berkualiti, bersih dan cukup, khusus untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di daerah Pendang, Yan dan sebahagian Mukim Gurun (dalam daerah Kuala Muda) iaitu kawasan perindustrian Gurun.”

“Lawatan saya ini adalah bagi menyemak keperluan kontraktor termasuk keperluan pekerja asing. Jika ada, maka saya akan membantu memudahcara proses perolehan pekerja ini.”

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kos keseluruhan projek menaik taraf LRA itu berjumlah RM156,855,460 dan lokasi kerja pelaksanaan kerja menaik taraf itu melibatkan daerah Pendang dan Yan.

“Skop kontrak projek ini adalah menaik taraf di LRA Jenun Baru, pembinaan tangki air di Bukit Jambul yang terletak di Pendang manakala daerah Yang melibatkan pembinaan tangki air menara di Sedaka, rumah pam di Kampung Ruat dan tangki air di Tanjung Jaga,” katanya.

Beliau berkata selain itu, terdapat juga kerja pemasangan sistem paip yang menghubungkan LRA Jenun Baru dengan tangki air baharu sepanjang 46 kilometer.

Saifuddin Nasution berkata kemajuan semasa fizikal projek itu setakat 12 Julai lepas adalah 37.4 peratus.

Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat mengenai projek menaik taraf LRA itu dekat sini hari ini.

Loading...
Terkini