Tumpuan :
Nasional

48,000 veteran ATM dapat manfaat melalui Tabung Pahlawan 

Foto: NSTP

Oleh: Ain Shafiqah Zaki

KUALA LUMPUR: 48,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mendapat bantuan kebajikan melalui Tabung Pahlawan, sejak ia ditubuhkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia merangkumi bantuan sara hidup, bencana alam dan kesihatan seperti kemudahan dialisis, penyediaan anggota atau bahagian badan palsu, inisiatif perumahan dan bantuan pengurusan jenazah.

“Dana yang dikutip ini bertindak sebagai satu tabung bantuan kecemasan tambahan bagi kumpulan veteran ATM yang memerlukan bantuan dan sokongan yang tidak dapat disalurkan oleh kerajaan dalam keadaan tertentu.

“Kumpulan sasar utama tabung ini adalah anggota veteran dan tanggungan yang direkodkan sehingga kini mencecah hampir 300 ribu orang,” katanya di Majlis Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2024 dan Pelancaran Kad Veteran Digital di Wisma Perwira ATM di sini hari ini.

Tambahnya, mereka merupakan golongan sasar untuk disantuni dan dibantu terutamanya melibatkan perkara-perkara yang tidak disediakan pihak kerajaan antaranya seperti bantuan susu khas dan lampin pakai buang.

Ia berikutan sebahagian besar mereka yang memerlukan bantuan itu  adalah veteran terlantar yang daif, berpendapatan rendah dan tidak mampu menguruskan diri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Kempen Tabung Pahlawan menyeru lebih ramai individu dan syarikat korporat supaya menyalurkan sumbangan ke tabung berkenaan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan cuba memudahkan proses permohonan berkenaan kepada vateran yang memerlukan.

Pada masa sama, JHEV ATM turut memperkenalkan penggunaan Kad Veteran Digital Veteran ATM yang akan dipaparkan dalam peranti mudah alih melalui aplikasi Veteran Integrated Benefit System (VIBES) 2.0.

Turut hadir Penaung KTP, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Hafizudeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Datuk Laksamana Zulhelmy Ithnin dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV ATM), Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini