Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah meningkatkan bilangan pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai langkah menangani isu buli di institusi tersebut.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jurulatih telah diarahkan membuat rondaan di penginapan pegawai kadet selepas jam 11:59 malam setiap hari untuk pemantauan yang lebih ketat.
“Penambahan perjawatan ini melibatkan 48 pegawai berbanding 31 pegawai sebelum ini, dan 182 anggota LLP berbanding 124 sebelumnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Dewan Rakyat hari ini, bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail, berkenaan usaha kementerian membanteras isu buli di UPNM.
Menurutnya, sejak Februari tahun lalu, tujuh kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di beberapa aras blok penginapan bagi mengesan aktiviti mencurigakan, dan kementerian berencana untuk menambah jumlah CCTV mengikut keperluan.
Selain itu, ujarnya, larangan terhadap aktiviti penderaan sememangnya dikuatkuasakan dalam perintah tetap pegawai kadet sejak penubuhan ALK, di mana amaran ini diulangi dalam perintah harian dan pegawai kadet yang didapati bersalah akan diberhentikan.
Tambah beliau, pengasingan pegawai kadet Tahun Satu di Bukit Putera yang bermula pada April 2024 juga merupakan satu langkah penting, di mana mereka diletakkan sepenuhnya di bawah kelolaan jurulatih kerana golongan itu sering menjadi sasaran.
Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar mengenai program pemulihan, Mohamed Khaled berkata peningkatan kes buli hanya berlaku pada tahun ini, berbanding satu kes pada tahun 2022 dan 2023.
“Yang penting ialah memastikan tiada lagi kes di mana kadet senior menggunakan kekerasan atau membuli junior. Dalam usaha ini, kita akan mendedahkan bentuk kesalahan dan hukuman berat yang akan dikenakan. Beberapa kes yang telah berlaku akan melalui pengesahan oleh Majlis Angkatan Tentera apabila bersidang kelak,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.