Tumpuan :
Nasional

48 individu ditahan di Port Dickson, disyaki terbabit aktiviti scam

Superintendan Maslan Udin (dua dari kiri) dan Uthman Abd Ghani (tengah) pada majlis pelupusan barang kes IPD Port Dickson, hari ini.- Foto: NSTP

PORT DICKSON: Polis yakin dapat melumpuhkan sindiket penipuan atas talian di daerah ini susulan penahanan 48 individu termasuk lapan wanita dalam dua operasi sejak pertengahan bulan lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Maslan Udin berkata, mereka yang ditahan itu termasuk 13 warga asing yang berusia antara 19 hingga 40 tahun.

Katanya, mereka ditahan dalam Ops Belatuk dan Ops Nuri di sekitar daerah ini bermula dari 14 November hingga 3 Disember lalu.

“Susulan penahanan itu, polis juga merampas pelbagai jenis barangan termasuk 271 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan 44 komputer riba pelbagai jenama.

“Selain itu, lapan kereta pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM10,150 dengan keseluruhan jumlah rampasan dianggarkan sebanyak RM820,150,” katanya selepas majlis pelupusan barang kes IPD Port Dickson di sini, petang tadi.

Hadir sama Majistret Port Dickson, Uthman Abd Ghani, Timbalan Pendakwa Raya Port Dickson, Muhammad Azrif Firdaus Mohd Ali dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Hamzah Mohammad.

Maslan berkata semua suspek telah dituduh di bawah Seksyen 420/120B (2) Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Port Dickson dan jika disabitkan kesalahan hukuman adalah penjara tidak lebih daripada enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya, operasi dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan dan IPD Port Dickson di empat lokasi yang disyaki pusat aktiviti sindiket penipuan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini