TUMPAT: Sejumlah 476 kilogram (kg) minyak masak peket dikesan disumbat dalam sebuah kereta Perodua Kancil tanpa pemandu di tepi jalan di Kampung Bunohan, di sini, semalam.
Barang kawalan dianggarkan bernilai RM1,190 yang ditemui dalam keadaan ditutup dengan kain hitam itu dipercayai mahu diseludup masuk ke Thailand menerusi pangkalan haram atau tebing Sungai Golok di Pengkalan Kubor.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, berkata kereta itu dikesan kira-kira jam 7.40 pagi semalam hasil risikan pihaknya.
“Setiba di lokasi, kenderaan itu dilihat diparkir di tepi jalan tanpa pemandu. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati ada sejumlah kotak diletakkan di tempat duduk penumpang dan bahagian belakang kereta itu.
“Kami mendapati kotak itu mengandungi 476kg minyak masak dianggarkan bernilai RM1,190 yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azman berkata, pihaknya sedang menyiasat dari mana bekalan minyak masak itu diambil, dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau berkata, kegiatan penyelewengan barang kawalan dikesan kerap beroperasi pada sebelah pagi kebelakangan ini, mungkin kerana pihak berkuasa disangka kurang menjalankan kawalan pada waktu itu.
“KPDN Kelantan sentiasa melipatgandakan usaha membanteras ketirisan barang kawalan di sempadan negara ini, bersama agensi berkaitan dari semasa ke semasa.
“Kami juga mempergiat usaha dengan mengadakan pemantauan dan rondaan pencegahan ketirisan barang kawalan di stesen minyak sekitar radius 50 kilometer dari sempadan negara,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa