comscore
Tumpuan :
Nasional

47 warga asing ditahan, budak Myanmar diselamatkan dari jadi buruh paksa

Seramai 48 pekerja warga asing sebuah premis di Sungai Rawa, Simpang Lima, Parit Buntar ditahan dalam operasi JTK dengan kerjasama polis. – FOTO: NSTP

PARIT BUNTAR: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak menahan seramai 47 pekerja warga asing dalam serbuan Op Pintas Mega dengan kerjasama polis di sebuah kilang di Sungai Rawa, Simpang Lima di sini, petang semalam.

Dalam serbuan sekitar jam 3.15 petang itu, remaja lelaki warga Myanmar berusia 16 tahun diselamatkan pihak berkuasa selepas disyaki dieksploitasi untuk menjadi buruh paksa di kilang memproses bahan kitar semula berkenaan sejak lebih setahun lalu.

Operasi dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Perak dan JTK itu berjaya menahan 43 lagi warga Myanmar dan empat warga China.

Pengarah JTK Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata, pemeriksaan mendapati, semua mereka berusia lingkungan 20-an hingga 40-an dan didapati telah melakukan kesalahan tinggal lebih masa, tiada dokumen perjalanan, menggaji warga kerja asing tanpa permit yang sah serta menyalah guna pas lawatan sosial.

“Antara kesalahan yang dikesan, majikan gagal mendapatkan sijil perakuan penginapan dari JTK, tidak menyediakan almari dan tilam yang mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Selain itu majikan dipercayai turut melakukan pemotongan gaji tidak sah, membuat bayaran gaji secara tunai dan pekerja dikesan berkerja melebihi 45 jam seminggu,” katanya.

Terdahulu dalam serbuan yang turut disertai media, beberapa individu dipercayai pekerja kilang berkenaan dilihat melompat pagar zink kilang berkenaan dan cuba melarikan diri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini