comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 47 pengarah syarikat ditahan seleweng dana PENJANA, libatkan tuntutan palsu RM63 juta

 

Oleh  Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seramai 47 pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Hire 2.0 sejak petang semalam.

Kesemua yang ditahan berusia antara 30 hingga 70 tahun melibatkan 14 wanita dan 33 lelaki kerana mengemukakan tuntutan palsu kononnya telah mengendalikan program pengambilan dan latihan pekerja kepada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurut sumber, ia membabitkan jumlah tuntutan antara RM450,000 hingga RM2 juta.

Op Hire 2.0 adalah lanjutan Op Hire 1.0 yang dilaksanakan di seluruh negara pada 2022 dengan kerjasama PERKESO dan SPRM.

Op Hire 2.0 adalah operasi bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan hasil tuntutan palsu yang dibuat pengarah syarikat menerusi program insentif pengambilan pekerja dan program latihan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Kesemua 47 suspek yang ditahan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di seluruh negara hari ini untuk permohonan reman mengikut seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Jelasnya SPRM juga telah mengenal pasti ratusan syarikat lain yang membuat tuntutan palsu dan akan meneruskan operasi bagi menahan suspek.

Justeru, beliau memberi amaran kepada mana-mana syarikat yang terlibat untuk tampil sukarela menyerahkan semula tuntutan yang telah dibuat bagi mengelak pertuduhan di mahkamah.

“Kita telah kenal pasti nama dan senarai pemilik syarikat yang terlibat. Bagi tujuan mendapatkan semula kesemua tuntutan palsu terbabit, saya memberi amaran kepada semua untuk tampil segera sebelum SPRM mengetuk pintu pejabat syarikat-syarikat terlibat.

“Saya memberi jaminan bahawa sesiapa yang terlibat untuk tampil secara sukarela dan menyerahkan semula tuntutan-tuntutan yang telah dibuat, tidak akan dipertuduh di mahkamah. Bagi mereka yang masih berdegil maka mereka akan dikenakan tindakan yang lebih serius,” tegasnya.

Dalam Op Hire 1.0,  74 orang daripada 60 syarikat telah ditahan melibatkan tuntutan palsu bernilai RM88 juta.

Daripada jumlah itu, 52 orang telah didakwa di mahkamah.

Loading...
Terkini