comscore
Tumpuan :
Nasional

464 mangsa banjir dipindahkan ke 4 PPS di Sabah

Seramai 261 mangsa banjir ditempatkan di Pusat Perpindahan Sementara (PPS) di Pusat Kebudayaan Penampang setakat jam 8 pagi tadi. – FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Setakat jam 8 pagi tadi, mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sabah meningkat kepada 464 orang berbanding 450 mangsa pada jam 4 subuh tadi.

Jumlah itu membabitkan mangsa yang dipindahkan di empat PPS yang dibuka di empat daerah setakat ini iaitu di Penampang, Putatan, Tuaran dan daerah kecil Tamparuli.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), peningkatan itu membabitkan mangsa yang dipindahkan ke PPS di daerah Penampang yang bertambah kepada 279 mangsa.

Subuh tadi, jumlah mangsa yang berada di PPS Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang itu ialah seramai 261 orang.

Bagaimanapun, di Putatan jumlah mangsa yang dipindahkan di PPS Dewan Sri Putatan menunjukkan penurunan kepada 138 mangsa pada jam 8 pagi ini, berbanding 142 mangsa pada jam 4 subuh tadi.

Sementara itu, di Tuaran jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Tutu Selupoh kekal 29 mangsa daripada lapan keluarga sejak petang semalam.

Begitu juga jumlah mangsa banjir dipindahkan di PPS Balai Raya Kampung Bontoi di Tamparuli, kekal seramai 18 orang daripada lima keluarga.

Banjir mula melanda beberapa daerah di pantai barat Sabah, termasuk kawasan ibu negeri pada petang Ahad lalu berikutan hujan lebat berterusan yang menyebabkan air beberapa sungai melimpah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini