Tumpuan :
Nasional

4,619 lokasi kerap banjir di seluruh negara, NADMA siap sedia

CYBERJAYA: Sebanyak 4,619 lokasi hotspot banjir dikenal pasti di seluruh negara tahun ini sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, ia membabitkan 3,605 lokasi di semenanjung, 799 di Sabah, 201 di Sarawak dan 14 lokasi panas di Labuan.

Menurutnya, lokasi itu diambil kira berdasarkan kawasan yang mengalami kekerapan tidak kurang tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini.

“Selain itu, kita turut membuat pemantauan cerun kritikal membabitkan 254 cerun di seluruh negara, terdiri daripada 86 kritikal tinggi, 84 kritikal sederhana dan 84 kritikal rendah.

“Bagi menghadapi MTL ini, seramai 82,794 sumber manusia bersedia bersama 28,444 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seramai 17,089, Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai 17,216, Angkatan Pertahanan Awam (APM) seramai 15,064 dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) 4,981 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (Smart) Pulau Meranti, Puchong, di sini, hari ini.

Khairul Shahril berkata, setakat ini juga 8,481 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan kapasiti lebih 2 juta orang bersedia jika berlaku banjir akibat MTL.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM) Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, pihaknya melakukan rondaan minimum lima kali seminggu di kawasan lokasi panas sebagai persiapan menghadapi banjir.

“Sepanjang 10 bulan ini, kita sudah membuat rondaan lebih 30,000 kali di seluruh negara dan apabila menemui insiden yang boleh memberi kesan maka kita akan laporkan maklumat itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi terbabit.

“Kita juga ada team (kumpulan) Chameleon seramai 533 orang yang merujuk kepada orang itu boleh membuat dua, tiga perkara dan apabila berlaku bencana dia boleh segera beri maklum balas,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini