Tumpuan :
Nasional

440 penternak rugi lebih RM3.9 juta angkara banjir Disember lalu

Dr Suratan (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan bantuan makanan haiwan ternakan kepada pemilik di Program Penyerahan Bantuan Makanan Haiwan Kesayangan Pasca Banjir Kelantan di Ibu Pejabat JPV Kelantan. – Foto: NSTP

KOTA BHARU: Banjir Monsun Timur Laut Disember tahun lalu menyebabkan 440 penternak di seluruh negara mengalami kerugian lebih RM3.9 juta.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Dr Suratan Kamarudin berkata, kerugian berkenaan membabitkan kematian ternakan termasuk lembu, kambing dan biri-biri, kerosakan kandang, kerosakan homplot (tanaman rumput) dan peralatan serta mesin.

“Bagi meringankan beban yang dihadapi penternak, kami bersama badan bukan kerajaan (NGO), persatuan haiwan, industri dan orang perseorangan menyalurkan sumbangan kepada pemilik termasuk bantuan makanan untuk haiwan kesayangan.

“Pada 2021, kerajaan membelanjakan lebih RM1.6 juta bagi membantu 387 penternak yang terjejas akibat banjir, manakala tahun lalu pula lebih RM6.7 juta peruntukan digunakan bagi membantu 552 penternak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penyerahan Bantuan Makanan Haiwan Kesayangan Pasca Banjir Kelantan di Ibu Pejabat JPV Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JPV Kelantan, Dr Syarifah Asiah Mohd Amin.

Mengulas lanjut, Dr Suratan berkata, selain bantuan, pihaknya juga bertanggungjawab memberi khidmat nasihat kepada penternak, pemilik haiwan dan industri berkaitan penjagaan kesihatan, rawatan serta pencegahan penyakit sekali gus untuk meningkatkan pengeluaran ternakan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini