comscore
Tumpuan :
Nasional

44 pemandu mabuk, 9 samseng jalanan antara ditahan di Johor

Ops Patuh yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor selama 12 hari di seluruh negeri ini menyaksikan seramai 62 pengguna jalan raya ditahan termasuk pemandu mabuk dan samseng jalanan.- Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Ops Patuh yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor selama 12 hari di seluruh negeri ini menyaksikan seramai 62 pengguna jalan raya ditahan termasuk pemandu mabuk dan samseng jalanan.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi yang bermula 1 Oktober hingga semalam yang memberi fokus kepada pemandu mabuk dan samseng jalanan turut menyasarkan enam kesalahan utama sering dilakukan pengguna jalan raya.

“Menerusi operasi ini kita menahan 62 individu iaitu 58 lelaki dan empat wanita warga tempatan berusia antara 15 hingga 73 tahun.

“Tangkapan ini membabitkan 44 kes mabuk, sembilan samseng jalanan dan sembilan lagi bagi kesalahan lain,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh operasi, pihaknya mengeluarkan 397 keping saman atas kesalahan memotong barisan dan 453 saman bagi kesalahan langgar lampu isyarat.

Menurut beliau, kedua-dua kesalahan itu adalah yang paling tinggi dan kerap dilakukan pengguna jalan raya.

“Sebanyak 2,491 keping saman Pol 257 dan Pol 170A dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan dalam operasi itu juga, sebanyak 44 buah motosikal disita,” jelasnya.

Kumar berkata, operasi itu akan dijalankan secara berterusan dalam memastikan semua peraturan dan undang-undang jalan raya dipatuhi, dihormati dan dibudayakan.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana individu yang jelas secara cuai melanggar peraturan sehingga boleh mendatangkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Didik diri untuk jadi pemandu yang berhemah dan sentiasa saling hormat-menghormati kerana jalan raya adalah dikongsi bersama,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini