comscore
Tumpuan :
Kes

4,320 unit al-Quran tiada perakuan KDN dirampas sepanjang Ramadan


Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan (PKK) Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 4,320 unit bahan bacaan al-Quran bernilai lebih RM250,000 yang tiada perakuan melalui operasi yang dijalankan di seluruh negara sepanjang Ramadan ini.

Setiausaha PKK KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, rampasan itu dibuat dalam sebuah serbuan menerusi Ops Mulia bermula 1 Ramadan lalu di seluruh negara.

“Hasil rampasan tersebut terdiri daripada al-Quran dan bahan bacaan al-Quran yang tidak mempunyai kelulusan KDN melalui Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) manakala hasil rampasan bagi Terengganu sahaja sebanyak RM36,870,” katanya.

PKK turut menahan seorang peniaga di Jerteh, Besut yang menjalankan aktiviti penjualan naskhah dan bahan bacaan al-Quran melibatkan kesalahan di bawah Akta (APTQ) 1986 dan kes disiasat di bawah Seksyen 7(1) dan Seksyen 8(1) akta yang sama.

Menurutnya, antara kesalahan yang sering dikesan termasuk kesilapan cetakan dan ayat al-Quran, tiada pelekat hologram serta tiada perakuan sah oleh KDN yang jelas tidak melalui proses semakan daripada pakar.

“Sehingga kini, terdapat 916 pruf akhir teks al-Quran di Malaysia yang mana sejumlah 916 jenis terbitan al-Quran yang telah diluluskan KDN sebagai pilihan sama ada untuk dijual, dimilik atau diedar dalam kalangan masyarakat.

“Amalan membaca al-Quran tanpa semakan dan kelulusan daripada LPPPQ KDN dikhuatiri akan mengelirukan masyarakat berkaitan teks al-Quran, sebutan, bacaan dan maksud yang tidak tepat kerana tidak melalui proses semakan dan ditentusahkan betul oleh pakar,” ujarnya.

Loading...
Terkini