Oleh Amira Suraini Che Mohamad
KANGAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis telah mengedarkan hampir 429,000 biji telur ayam sejak awal Januari lalu bagi memenuhi permintaan pengguna di negeri ini.
Pengarahnya, Mohd Sharizan Mansor berkata, bekalan telur itu diagihkan kepada 15 outlet peruncitan FAMA dan usahawan dibawah bimbingannya.
“Baru-baru ini negara menghadapi kenaikan harga barang dan kenaikan harga telur. Jadi kita (FAMA) mainkan peranan teruskan intervensi telur sehingga keadaan kembali pulih.
“Sejak awal tahun lagi FAMA Perlis sudah mengedarkan 429,000 biji telur ke semua outlet FAMA dan usahawan FAMA sebagai tambahan bekalan,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
Beliau menambah, disebabkan Perlis bukan negeri pengeluar telur maka bekalannya diperoleh dari negeri pengeluar yang terdekat.
“Telur yang dibekalkan FAMA sekurang-kurangnya dapat menampung bekalan sumber makanan berkenaan yang terjejas sebelum ini, disebabkan berlakunya kekurangan pengeluaran,” katanya.