Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kira-kira 410 anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya sudah ditempatkan di seluruh Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan bagi memastikan perjalanan hari mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok berjalan lancar.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, penugasan anggota termasuk dari aspek keselamatan dan kawalan telah disusun atur mulai hari ini.
“Saya menasihati supaya pengundi yang hadir mematuhi semua arahan ditetapkan dan jangan kelam kabut. Yang paling penting laksanakan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia. Kalau boleh susun atur pergerakan kita sendiri,” katanya yang ditemui pemberita selepas meninjau persiapan akhir pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) di sini petang tadi.
Turut hadir, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Putrajaya, Shamshul Joehari Zainal Mokhtar.
ACP A. Asmadi memaklumkan, anggota polis turut ditempatkan di pusat penjumlahan undi di Kompleks Kejiranan Presint 9 sehingga pasca PRU-15.
Pada masa sama, beliau berkata, tiada jalan ditutup namun menjangkakan berlaku kesesakan berikutan parkir kenderaan yang terhad.
Sementara itu, Shamshul Joehari berkata, pihaknya bersedia untuk hari mengundi dengan persiapannya berjalan lancar dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya minta pengundi datang awal dan boleh selesaikan proses pengundian segera. Kalau boleh ikut peraturan ditetapkan. Kita minta supaya pengundi tidak memakai logo parti untuk masuk ke pusat mengundi. Dengan kerjasama semua, proses pengundian esok akan lancar, insya-ALLAH,” katanya.
Beliau turut menjangkakan tempoh pengiraan undi akan selesai dalam tempoh masa dua jam.
Untuk rekod, 41,426 pengundi biasa akan membuang undi di 68 saluran di 11 sekolah yang dijadikan pusat mengundi yang dibuka dari jam 8 pagi sehingga 6 petang.