KUALA LANGAT: Akibat gangguan bekalan elektrik, sebanyak 41 kawasan di daerah ini mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula malam tadi apabila Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang, di sini dihenti tugas sementara.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, henti tugas pada jam 10 malam itu disebabkan kerja-kerja pembaikan kecemasan peralatan elektrik di Sub Stesen Utama Olak Lempit oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Kawasan yang terjejas adalah Banting, Batu 7 Sempadan, Batu 7 Sijangkang, Batu 8 Sijangkang, Batu 9 Kampung Medan, Batu 9 Kebun Baru, Batu 9 Sijangkang, Jalan Raba Banting, Jalan Sijangkang Utama, Jenjarom, Jugra dan Kampung Bandar.
“Selain itu adalah Kampung Busut, Kampung Endah, Kampung Kanchong Darat, Kampung Kanchong Laut, Kampung Kanchong Tengah, Kampung Kelanang, Kampung Olak Lempit, Kampung Permatang Pasir, Kampung Pulau Carey, Kampung Sawah, Kampung Sungai Kelambu, Kampung Sungai Lang, Kampung Sungai Manggis dan Kampung Sungai Sedu.
“Turut terbabit adalah Kampung Tali Air, Kawasan C Telok Panglima Garang, Morib, Pekan Banting, Sri Cheeding, Sungai Buaya, Taman Kemuning, Taman Pewira, Taman Seri Medan, Taman Seri Putra, Taman Sijangkang Jaya, Teluk Datok, Telok Panglima Garang dan Tongkah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, di sini.
Air Selangor berkata, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki air akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh ini.
Katanya, sebarang perkembangan berkaitan gangguan bekalan air itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.
Para pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.