comscore
Tumpuan :
Nasional

403,637 calon duduki SPM mulai 20 Februari

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seramai 403,637 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 3,355 pusat pemeriksaan di seluruh negara bermula 20 Februari hingga 15 Mac ini.

Kementerian Pendidikan, dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya menyediakan 131,318 petugas peperiksaan bagi membantu kelancaran proses pengambilan peperiksaan SPM.

Katanya, bagi ujian amali, ujian mendengar dan ujian menulis akan dilaksanakan lebih awal bermula 30 Januari ini.

“Pada 30 Januari ini seramai 93,490 calon akan mengambil Ujian Amali Sains (Fizik) diikuti 74,642 calon bagi Ujian Amali Sains (Biologi) keesokan harinya.

“Selain itu pada 2 Februari pula seramai 94,672 calon akan mengambil Ujian Amali Sains (Kimia) diikuti 7 hingga 9 Februari ini dengan 397, 854 calon mengambil Ujian Bertutur untuk Bahasa Melayu.

“Sejumlah 397,057 calon pula mengambil Ujian Bertutur bagi Bahasa Inggeris yang dijadualkan selama tiga hari iaitu pada 13 hingga 15 Februari ini,” katanya.

Hari berikutnya iaitu pada 16 Februari seramai 397,854 calon akan mengambil Ujian mendengar bagi Bahasa Melayu manakala, seramai 397,057 calon pula mengambil Ujian Mendengar bagi Bahasa Inggeris.

Berikutan itu, KPM mengingatkan supaya semua calon untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan yang diambil. Jadual boleh dimuat turut menerusi laman sesawang Lembaga Peperiksaan di pautan http://lp.moe.gov.my

KPM turut mengingatkan calon untuk membawa dokumen pengenalan diri dan Penyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan masing-masing.

Loading...
Terkini