comscore
Tumpuan :
Nasional

4,000 lesen PSV percuma kepada B40

BATANG KALI: Kerajaan menawarkan 4,000 Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) secara percuma kepada golongan B40 mengikut syarat-syarat ditetapkan menerusi program MyPSV.

Menurut Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, daripada jumlah itu, 3,500 adalah untuk pemohon lesen PSV e-panggilan dan teksi manakala 500 lagi ditawarkan untuk lesen PSV bas di seluruh negara.

Selain membantu golongan B40 yang perlu menanggung kos RM2,590 untuk mendapatkan lesen PSV bas, inisiatif melibatkan peruntukan RM2 juta itu bagi memenuhi keperluan industri yang kekurangan pemandu bas pada tahap kronik.

“Negara memerlukan ribuan pemandu bas bukan sahaja Prasarana, malah juga syarikat bas ekspres dan bas henti-henti di seluruh negara,” katanya selepas melancarkan Program MyPSV Peringkat Kebangsaan Tahun 2023.

Beliau difahamkan oleh beberapa syarikat bas ekspres mengenai kekurangan pemandu dan  antara faktor  orang ramai tidak berminat untuk menjadi pemandu bas adalah kerana gaji rendah.

Loke berkata inisiatif itu ialah tanggungjawab dan komitmen kerajaan untuk membuka peluang dan ruang kepada masyarakat bagi mempertingkatkan taraf sosioekonomi serta pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan dalam sektor pengangkutan perkhidmatan awam.

“Selain itu, program ini secara langsung akan menyokong dan menambah baik kelangsungan sektor pengangkutan awam dan pelancongan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, program MyPSV ini dapat melahirkan pemandu bas, teksi dan e-hailing yang kompeten dan selamat kerana mereka akan menjalani latihan dan ujian untuk memastikan kompetensi sebelum diberi lesen dan dibenarkan membawa kenderaan perkhidmatan awam.

“Penetapan kesemua modul kursus ujian dan latihan yang dihasilkan adalah betul-betul kompeten dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini