comscore
Tumpuan :
Nasional

40 sekolah di Johor berjaya sediakan polisi sifar plastik

Oleh: Zahir Senapiah

ISKANDAR PUTERI: 40 buah sekolah di Johor telah berjaya menyediakan polisi untuk mengurangkan penggunaan plastik di sekolah.

Sekolah terbabit termasuk 10 buah di sekitar daerah Johor Bahru, Batu Pahat (5), Kluang (4), Kota Tinggi (2), Kulai (5), Pontian (5), Pasir Gudang (4) dan satu di daerah Muar.

Menurut kenyataan pihak berkuasa pembangunan Iskandar Malaysia, semua sekolah terbabit telah mula memperkenalkan inisiatif dan sedang memantau keberkesanan program berkenaan.

Jelasnya, hingga kini 907 buah sekolah rendah di negeri itu mengambil bahagian dalam Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) anjuran bersama IRDA, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

Program Edisi ke-11 itu tampil dengan tema IMELC X Combat Plastic Pollution dengan memberi fokus kepada usaha membanteras penggunaan dan pencemaran plastik.

Sempena program itu satu program kem bina upaya khusus bagi membantu guru penyelaras merangka strategi bagi membanteras pencemaran plastik sekaligus mampu melahirkan Combat Plastic Advocator (Penggerak), Combat Plastic Champion (Juara) dan Combat Plastic Ambassador (Duta) telah diadakan di Alun-Alun Resort, Pulau Besar, Mersing, baru-baru ini.

Program tiga hari itu memberi pendedahan kepada guru penyelaras dengan pelbagai aktiviti termasuk sesi tinjauan mikroplastik dan gotong royong mengutip sampah sarap sepanjang pantai.

Melalui program itu, setiap guru penyelaras dilatih untuk menjadi pendukung utama inisiatif ke arah sifar penggunaan plastik seterusnya membentuk murid-murid di sekolah untuk menjadi duta sifar plastik.

Setiap peserta ditugaskan untuk menilai keupayaan sekolah masing-masing dalam mencapai setiap sasaran IMELC X Combat Plastic Pollution termasuk untuk meningkatkan penglibatan murid, ibu bapa dan pengusaha kantin.

IMELC adalah projek berimpak tinggi bagi pendidikan kelestarian di Johor yang mendapat sokongan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan NGO, yayasan serta Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini