comscore
Tumpuan :
Nasional

4 warga asing ditahan, disyaki ceroboh Pusat Hidrografi Nasional

 

Foto hiasan

SHAH ALAM: Empat lelaki warga asing ditahan kerana disyaki menceroboh kawasan pintu utama Pusat Hidrografi Nasional (PHN) di Pulau Indah, Klang dekat sini pada Ahad lepas.

Semua mereka yang berumur antara 21 hingga 36 tahun itu ditahan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang bertugas ketika berlegar-legar di jalan berhadapan pintu masuk utama PHN.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pegawai bertugas di PHN pada jam 8 malam, 26 Mei lepas berhubung kejadian itu sebelum mengarahkan anggota kereta peronda yang berdekatan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati semua suspek ditahan anggota TLDM selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan dengan berlegar-legar di jalan berhadapan pintu masuk utama PHN dan berpura-pura mengambil gambar.

“Suspek ditahan anggota TLDM yang kemudiannya memaklumkan kepada polis untuk tangkapan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya semua suspek direman tiga hari sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pencerobohan.

Cha berkata siasatan turut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 bagi mengesahkan ketulinan pasport, permit dan pergerakan keluar masuk kesemua suspek ke Malaysia.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini