comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 4 unit rumah di Taman Bukit Pantai berdepan ancaman tanah runtuh

 

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja penutupan cerun sekitar perumahan di Jalan Taman Pantai, Bangsar sedang giat dilakukan bagi mengelak lebih banyak gelongsoran tanah.

 

Jabatan Bomba dan Penyelamat  Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan berdasarkan pemeriksaan awal, insiden dipercayai berpunca daripada kebocoran saliran air kolam renang dari unit rumah di bahagian atas.

Justeru, kerja-kerja mengosongkan sisa air kolam juga turut dilakukan bagi mengelakkan tanah semakin lembab dan berpotensi berlakunya pergerakan tanah.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai menerima panggilan laporan insiden pada jam 10.45 pagi dan seterusnya menggerakkan jentera dengan 17 kekuatan anggota yang turut dibantu BBP Seputeh.

Tinjauan Buletin TV3 di lokasi, insiden membabitkan sebuah rumah yang dihuni seorang wanita, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Difahamkan ketika kejadian, wanita terbabit sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman.

Atas faktor keselamatan, pihak bomba turut mengarahkan tiga lagi unit rumah di kawasan berhampiran untuk dikosongkan buat sementara waktu.

Kes diserahkan kepada pihak polis, bagaimanapun pasukan bomba akan memantau lokasi ini dari semasa ke semasa, khususnya apabila hujan lebat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini