Tumpuan :
Nasional

4 termasuk wanita pandu lawan arus sudah beri keterangan – Polis

GEORGETOWN: Seramai empat individu sudah diambil keterangan berhubung kes pandu lawan arus di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, dalam kejadian pada awal Oktober lalu.

Dua daripada mereka ialah lelaki memandu Perodua Bezza dan wanita pemandu BMW, yang sebelum ini dimasukkan ke hospital untuk rawatan susulan kejadian pada 1 Oktober terbabit, namun sudah dibenarkan pulang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, wanita berusia 41 tahun itu dirawat di hospital swasta sebelum dibenarkan pulang pada 9 Oktober.

“Pemandu Perodua Bezza, lelaki berusia 22 tahun dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), dibenarkan pulang pada 11 Oktober,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Soffian berkata, wanita memandu BMW itu yang berasal dari Alor Setar, Kedah, sudah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi memberi keterangan.

“Dia turut ditahan bagi membantu siasatan sebelum dilepas dengan jaminan polis kerana masih belum pulih sepenuhnya dan memerlukan rawatan susulan di hospital.

“Kertas siasatan sudah lengkap dan kes akan dirujuk kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat bagi mendapat arahan pertuduhan. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki cedera selepas kenderaan dinaikinya dirempuh sebuah kereta dipandu secara melawan arus di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini.

Dalam kejadian itu, kereta Perodua Bezza dikatakan dirempuh BMW 5 Series dipandu secara melawan arus oleh seorang wanita dari arah pusat bandar.

Wanita berkenaan didapati bebas pengaruh alkohol berpandukan analisis ujian sampel alkohol yang dihantar kepada Jabatan Kimia.

Loading...
Terkini