
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki patah kaki manakala tiga anggota polis cedera ringan selepas kereta dipandu mangsa bertembung dengan lori milik polis dalam kemalangan di Jalan Bukit Cerakah di Kapar, Klang pagi tadi.
Komander operasi Jabatan Bomba Kapar Nurul Azman Muhammadan dalam satu kenyataan memaklumkan, kemalangan itu juga menyebabkan kereta jenis Kia Sorento yang dipandu lelaki itu terbakar 90 peratus.

Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.40 pagi sebelum jentera bomba sampai ke lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
“Kemalangan membabitkan sebuah kereta Kia Sorento yang terbakar akibat bertembung dengan lori milik polis.
“Seorang lelaki yang memandu kereta itu mengalami kecederaan patah kaki, manakala tiga anggota polis dalam lori itu cedera ringan,” katanya.
Katanya, semua mangsa dibawa ke hospital oleh ambulan milik Kementerian Kesihatan (KKM).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.