Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan mengambil tindakan mahkamah terhadap empat syarikat yang masih degil membuang bahan buangan di tapak pelupusan haram di sekitar negeri ini.
Pengarah SWCorp Melaka, Khairuladha Mutalib berkata, kertas siasatan terhadap syarikat terbabit sedang dilengkapkan dan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Menurut beliau, tindakan undang-undang itu diambil selepas beberapa notis amaran dikeluarkan terhadap syarikat terbabit agar menghentikan aktiviti membuang sisa buangan di kawasan larangan.
“Kesemua syarikat terbabit adalah daripada sektor perkilangan, binaan dan peruncitan,” katanya.
Beliau ditemui media selepas menghadiri Program Jom Plogging@Reforestation di Urban Reforestation Sungai Putat, Ayer Keroh di sini hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman.
Menurut Khairuladha, kesemua syarikat terbabit akan didakwa dibawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Sabit kesalahan katanya, boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum selama lima tahun.
Ujar beliau, hasil pemantauan pihaknya, terdapat 37 tapak pelupusan haram berulang yang masih beroperasi di seluruh negeri ini.
Kesemua tapak pelupusan terbabit jelasnya, pernah ditutup dan diberi notis amaran tetapi dibuka semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Bagaimanapun tambahnya, jumlah tapak pelupusan berkenaan telah berkurangan sehingga November lalu berbanding sebanyak 57 buah pada awal tahun ini.
“Antara faktor penurunan jumlah tapak pelupusan haram ini kerana tindakan tegas berterusan yang kita ambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti berkenaan,” katanya.