Tumpuan :
Nasional

4 suspek kes bunuh di restoran nasi kandar diburu polis

TASEK GELUGOR: Polis giat mengesan empat suspek dipercayai terbabit dalam kes tetak seorang lelaki warga Myanmar sehingga maut di sebuah restoran nasi kandar di Taman Sepadu Jaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian jam 3.20 pagi.

Menurutnya, mangsa yang juga pekerja restoran terbabit dikatakan diserang empat lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang.

“Siasatan awal mendapati empat lelaki warga tempatan yang memakai topi dan penutup muka serta bersenjatakan parang turun dari sebuah kenderaan berwarna gelap dan menyerang mangsa yang sedang bertugas di restoran berkenaan.

“Mangsa cuba melarikan diri namun kesemua empat suspek bertindak mengejar mangsa sebelum menetak mangsa di bahagian kepala, tangan dan badan.

“Selepas beberapa kali ditetak mangsa jatuh terbaring manakala kesemua suspek melarikan diri menaiki kenderaan sama.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan tetakan pada bahagian lengan belakang tangan kanan, kepala dan beberapa kesan luka di bahagian belakang badan mangsa.

“Mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat.

“Suspek belum dikenal pasti dan pihak polis sedang berusaha mengesan suspek disyaki terbabit,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini