KUALA TERENGGANU: Hujan lebat berterusan beserta angin sejak malam tadi sehingga pagi ini menyebabkan empat sungai di Terengganu melepasi paras bahaya .
Manakala satu lagi melebihi paras amaran dan dua merekodkan bacaan melepasi paras waspada.
Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, empat sungai melepasi paras bahaya adalah Sungai Nerus di Kampung Langkap, Sungai Chalok di Jambatan Chalok, di daerah Setiu.
Dua lagi adalah Sungai Tersat di Kampung Sekayu dan Sungai Telemong di Kampung Kuala Ping di Hulu Terengganu.
Sehingga jam 7.45 pagi ini, paras air di Sungai Nerus dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok di Setiu masing-masing merekodkan 21.29 meter (m) dan 9.02m iaitu melepasi paras bahaya 21m dan 8.40m.
Sungai Tersat di Kampung Sekayu dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu, masing-masing mencatatkan 20.05m dan 20.76m melebihi paras bahaya iaitu 20m dan 19.70m.
Sungai Nerus di Kampung Bukit, di daerah Setiu pula merekodkan bacaan melebihi paras amaran iaitu 12.17m melebihi paras amaran 12m.
Dua lagi sungai melebihi paras waspada adalah Sungai Besut di Jambatan Keruak dan di Kampung yang masing-masing mencatatkan 30.70m serta 20.36m.
Laman web itu turut memaklumkan, 19 lagi sungai merekodkan bacaan melebihi paras waspada.
Jabatan Meteorologi (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat beterusan dijangka berlaku di seluruh Terengganu.