Tumpuan :
Nasional

4 sekeluarga terperangkap dalam kenderaan akibat banjir

Anggota bomba menyelamatkan empat sekeluarga yang terperangkap dalam kenderaan akibat banjir di Jalan Kampung Paris 2, Kinabatangan. – FOTO: Ihsan bomba

KINABATANGAN: Empat sekeluarga terpaksa menunggu lebih dua jam sebelum diselamatkan selepas kenderaan yang mereka naiki terperangkap dalam banjir di Jalan Kampung Paris 2, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian sekitar 12.30 tengah malam, mangsa yang terdiri daripada suami isteri dan dua anak perempuan mereka berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan.

Ketua BBP Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin, berkata anggota bomba hanya dapat sampai ke lokasi kejadian, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai bomba, pada jam 2.47 pagi berikutan beberapa jalan utama yang terjejas banjir.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan sekitar jam 12.56 tengah malam dan terus mengerahkan pasukan serta jentera ke lokasi kejadian,” katanya.

Beliau menjelaskan, kereta Toyota Hilux yang dipandu mangsa terperangkap dan dihanyutkan arus deras. Semua mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kejadian buruk.

“Pasukan bomba kemudian melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada ancaman lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.15 pagi tadi,” tambahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini