Tumpuan :
Nasional

4 rakyat Malaysia cedera bas pelancong terbabas ke dalam tasik di Norway – Wisma Putra

KUALA LUMPUR: Wisma Putra mengesahkan empat rakyat Malaysia cedera dalam kemalangan bas pelancong berhampiran Tasik Asvatnet di Norway pada Khamis lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan, keempat-empat individu itu mengalami kecederaan ringan dan ditempatkan di Hotel Thon di Lofoten.

Semalam, media melaporkan, Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm, sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Norway untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kemalangan bas, kira-kira jam 1.30 tengah hari waktu tempatan pada 26 Disember itu.

Laporan awal menunjukkan penumpang bas yang sebahagiannya tenggelam dalam tasik, terdiri pelancong asing dari China, Singapura, India, Belanda, Malaysia, Sudan Selatan, Perancis dan Ukraine. Nahas ketika cuaca buruk, termasuk salji tebal dan angin kencang, menyebabkan bas hilang kawalan lalu terbabas.

Media antarabangsa melaporkan, tiga maut, manakala empat parah selepas sebuah bas terbabas dari lebuh raya lalu terjunam ke dalam tasik di utara Norway itu dan dirawat di Hospital Stokmarknes.

Pihak berkuasa Norway berjaya memindahkan semua penumpang yang terselamat, meskipun usaha menyelamat pada peringkat awal menghadapi cabaran akibat cuaca buruk.

Untuk sebarang bantuan konsular, Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm boleh dihubungi di alamat Karlavägen 37, 114 31 Stockholm, Sweden atau melalui panggilan telefon di +46 8440 8400 (pertanyaan umum) / +46 73 536 9152 (di luar waktu bekerja & hujung minggu) atau emel di [email protected].

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini