Tumpuan :
Nasional

4 penumpang cedera dalam nahas bas rempuh treler

Bahagian hadapan bas remuk selepas terlanggar belakang sebuah treler, mencederakan empat penumpang.

GOPENG: Empat orang cedera dalam kejadian bas persiaran yang membawa 41 penumpang termasuk lima kanak-kanak terbabit nahas dengan treler di Kilometer (KM) 295.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah Utara, dekat Gopeng, di sini, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian sekitar 4 pagi itu, bas yang membawa tiga lelaki, 33 wanita, lima kanak-kanak dan seorang pemandu itu dalam perjalanan dari Melaka ke Kedah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dan Simpang Pulai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.03 pagi.

“Setiba di lokasi, didapati bahagian hadapan bas remuk dipercayai terlanggar belakang sebuah lori.

“Empat penumpang bas iaitu masing-masing tiga wanita dan seorang lelaki dewasa cedera ringan, manakala mangsa lain selamat. Tiada mangsa tersepit.

“Semua mangsa yang berada dalam bas berjaya keluar dengan sendiri sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya.

Beliau berkata, Komander Operasi mengarahkan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) membuat rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Operasi disertai 15 anggota bomba itu ditamatkan jam 5.01 pagi.

Sementara itu, PLUS menerusi aplikasi X memaklumkan, trafik kembali lancar pada jam 6.27 pagi tadi, selepas insiden kemalangan terbabit yang menyebabkan lorong kiri terhalang itu selesai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini